PEMBIMBING RAKAN SEBAYA (PRS)

KONSEP


Konsep asas program PRS ialah "Rakan Bantu Rakan". Rakan boleh dalam lingkungan umur yang sama atau lebih tua/muda. Nama Pembimbing Rakan Sebaya adalah sama dengan program lain seperti : Mentor Sebaya, Kaunselor Sebaya, Adik angkat, Kelompok Sokongan Sebaya, College Sistem, Buddy atau Tutor Sebaya.

FALSAFAH 


Falsafah asas program PRS adalah berdasarkan slogan " Bantu Diri Supaya Berupaya Membantu Orang Lain". Oleh itu diperingkat sekolah, konsep PRS adalah Rakan Bantu Rakan. PRS yang terpilih akan diberikan latihan-latihan asas dalam hubungan membantu. Kemahiran-kemahiran asas ini diharapkan dapat dipraktikkan oleh PRS untuk membantu rakan-rakan mereka yang memerlukan pertolongan dari segi emosi, akademik, perkembangan diri dan pelbagai lagi.

MATLAMAT
  1. Membina budaya kasih mesra dan saling membantu di kalangan pelajar.
  2. Membina pelajar yang yakin diri dan menghayati nilai-nilai murni berasaskan kepada AlQuran dan AsSunnah.
  3. Memupuk potensi kepimpinan dan menjadi remaja yang peka, bertimbangrasa, rela membantu dan akhirnya berupaya untuk hidup dengan harmoni dalam masyarakat yang majmuk.
  4. Melalui pengaruh positif dan persepaduan dalam pelbagai aktiviti sekolah, PRS dapat memainkan peranan membantu mengurangkan salah laku disiplin di kalangan pelajar justeru meningkatkan motivasi untuk mencapai kecemerlangan samada dalam akademik mahu pun sahsiah diri.
OBJEKTIF 
  1. Membina pasukan PRS yang terlatih untuk membantu rakan dari segi akademik, perlakuan, emosi dan personaliti. 
  2. Membina khidmat sokongan dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sebagai unit kecil yang membantu menyerap tuntutan dalam khidmat ini.
  3. Melatih pelajar dalam kemahiran asas yang membolehkan mereka berinteraksi dengan berkesan dengan rakan dan individu lain. 
  4. Menubuhkan kumpulan pelajar yang terlatih yang boleh menggerakkan program-program dan aktiviti-aktiviti perkhidmatan bimbingan dan kaunseling.
 ETIKA PRS
 
Antara etika-etika penting sebagai PRS adalah:
  • Amanah dan menyimpan rahsia.
  • Memahami limitasi diri.
  • Menerima rakan tanpa syarat.
  • Merujuk kes sukar kepada kaunselor sekolah.
  • Melapor kes merosakkan diri dan orang lain kepada kaunselor sekolah.
  • Mematuhi ajaran agama, peka kepada norma-norma masyarakat dan patuh pada peraturan sekolah.
LATIHAN ASAS


PRS diberi latihan intensif oleh jurulatih sebelum diiktiraf sebagai PRS dalam 4 aspek:
  • Konsep Kendiri
  • Asas Komunikasi
  • Asas Kaunseling
  • Isu Remaja
LATIHAN LANJUTAN

Lantihan lanjutan perlu diberikan kepada PRS untuk meningkatkan kemahiran membantu. Aspek latihan dinilai berdasarkan keperluan pelajar. Antara kemahiran-kemahiran lanjutan adalah seperti:
  • Kemahiran Berucap
  • Kemahiran Belajar (Smart Study)
  • Kemahiran Tegas Diri
  • Kemahiran Pengurusan Masa
  • Kemahiran Kepemimpinan
  • Kemahiran Fasilitator
  • Kemahiran Penyelesaian Masalah (Problem Solving Skills)
 
PERKARA YANG BOLEH DILAKUKAN OLEH PRS
  1. Pemudah cara dalam keadaan terbuka, penuh kepercayaan, rasa selesa dan empati.
  2. Menerima rakan tanpa syarat.
  3. Mendengar, menjelas dan membantu rakan melihat beberapa alternatif sebelum membuat keputusan.
  4. Memberi sokongan dan galakan untuk rakan mengambil langkah positif.
  5. Mematuhi etika kerahsiaan.
  6. Menyedari bukan semua masalah boleh diatasi.
  7. Berbincang dan membantu rakan yang menghadapi masalah biasa seharian.
  8. Memimpin rakan melihat masalahnya dengan objektif dan menggalakkan mereka mencari penyelesaian sendiri supaya mereka belajar melalui pengalamanya.
  9. Merujuk kes-kes yang berat kepada kaunselor dan menjadi jambatan kepada rakan yang bermasalah untuk bertemu dengan kaunselor.
  10. Menjalankan projek membantu sambil mempengaruhi rakan lain supaya melibatkan diri.
  11. Memberatkan kesejahteraan diri dan memahami limitasi diri untuk membantu.
PERKARA YANG TIDAK SEPATUTNYA DILAKUKAN OLEH PRS

Berikut adalah beberapa tindakan yang tidak sepatutnya diambil oleh PRS:
  1. Mengawal, memberi khutbah atau mendesak rakan tentang tindakan yang harus mereka ambil.
  2. Membuat kesimpulan awal dan cuba mengubah rakan mereka.
  3. Memberi nasihat atau memberi cadangan penyelesaian untuk dituruti.
  4. Menyelamatkan rakan dengan membuat sesuatu yang sepatutnya dilakukan oleh rakan itu sendiri.
  5. Bercerita masalah rakan kepada orang lain.
  6. Mengharapkan semua masalah boleh diatasi dengan segera.
  7. Menghadapi sendiri masalah yang sukar sehingga menggangu emosi dan kesejahteraan diri.